Cara Menghilangkan Bekas Jerawat Dengan 8 Bahan Semulajadi Ini
Ada sesetengah orang berpendapat mengatakan bahawa menghilangkan jerawat lebih mudah daripada menghilangkan bekas jerawat. Adakah anda setuju dengan pendapat di atas? Jika ya, pasti anda merupakan salah seorang yang sedang berusaha untuk menghilangkan bekas jerawat terutamanya jerawat di muka. Jika bekas jerawat yang ditinggalkan agak berlubang teruk, anda tentu akan berasa sedikit hilang keyakinan diri dan membuatkan anda malu untuk berhadapan dengan orang ramai. Percaya dan yakinlah bahawa bekas jerawat yang ditinggalkan boleh hilang tetapi ia mengambil masa kerana bekas jerawat ini melibatkan pertumbuhan sel-sel kulit wajah. Ia tidak akan hilang sehari dua tetapi mungkin memakan masa berminggu-minggu dan mungkin juga berbulan-bulan.
Bagi segelintir mereka yang mahu menghilangkan bekas jerawat ini memilih penggunaan produk kecantikan dan ia merupakan jalan singkat bagi menyelesaikan masalah tersebut. Tidak salah untuk memilih menggunakan krim mahupun sapuan minyak bagi menghilangkan bekas jerawat ini malah banyak testimoni yang dihidangkan kepada bakal pengguna hasil yang digunakan oleh pelanggan mereka yang terdahulu. Ya, memang ia berkesan tetapi anda juga mempunyai pilihan lain untuk menghilangkan bekas jerawat di wajah dengan menggunakan bahan semulajadi ini.
Kesannya bergantung kepada tahap konsistensi anda melakukannya kerana pada zaman nenek moyang kita, mereka hanya menggunakan bahan semulajadi ini untuk tampil lebih cantik dan ia terbukti berkesan. Pada zaman nenek moyang kita dulu, penggunaan produk kecantikan seperti krim wajah masih tidak luas dipasarkan seperti mana pada zaman sekarang. Mungkin anda juga boleh cuba menggunakan bahan semulajadi ini untuk menghilangkan bekas jerawat di wajah anda dan pada masa yang sama kulit wajah anda juga akan tampil lebih halus dan mulus.
Jangan terkejut jika anda akan terus jatuh cinta dengan kaedah menghilangkan jerawat dengan bahan semulajadi ini kerana bukan sahaja dapat menjimatkan duit malah dapat melihat kesannya yang efektif selepas mengamalkannya.
Bahan-bahan semulajadi ini mungkin ada di belakang rumah anda dan mungkin juga ada di dapur anda sekarang. Maka, selepas anda baca penulisan ini, anda sudah boleh terus boleh menggunakan dan mengamalkannya.
Aloe Vera (Lidah buaya)
Ada dikalangan anda mungkin sudah sedia maklum bahawa aloe vera ini sangat sinonim dalam bahan untuk kecantikan wajah. Jika anda peminat artis korea, anda akan dapati kulit mereka sangat cantik dan halus kerana salah satu amalan yang mereka selalu lakukan adalah memakai masker aloe vera. Tidak hairanlah bila banyak syarikat dari korea mengeluarkan produk kecantikan berasaskan aloe vera dan mereka mempunyai ladang khas untuk menanam aloe vera ini. Jika di belakang rumah anda ada aloe vera, maka bersegerelah memetiknya dan ambil lendirnya untuk disapukan di bahagian bekas atau parut jerawat di wajah anda. Amalkannya 3 hingga 4 kali seminggu untuk mendapatkan kesan yang segera.
Aloe vera ini baik untuk kulit wajah kerana mengandungi nutrisi yang tinggi antaranya vitamin E, B12, A, magnesium dan kalsium. Sebab itulah, anda perlu amalkan penggunaan aloe vera ini secara konsisten untuk menghiangkan bekas jerawat.
Asam jawa
Selalunya orang akan kaitkan minum asam jawa ini boleh membantu dalam menurunkan berat badan tapi kali ini ada ilmu yang baru perlu anda tahu iaitu asam jawa ini boleh membantu anda untuk menghilangkan bekas jerawat secara semulajadi. Tapi bukannya minum asam jawa ini tetapi anda perlu buat ia sebagai masker atau menyapunya pada bahagian bekas jerawat. Caranya mudah sahaja. Ambil satu sudu asam jawa dan campurkannya dengan air bersih sehingga teksturnya menjadi pekat. Sapukannya pada bekas jerawat anda dan biarkannya sehingga betul-betul kering. Disarankan untuk melakukannya pada waktu malam sebelum tidur. Lama-kelamaan anda akan lihat bekas jerawat anda akan jadi semakin pudar dan warnanya kembali mengikut warna kulit anda.
Selain itu, ada juga segelintir mereka menggunakan asam jawa ini dicampurkan dengan bedak sejuk untuk menghilangkan bekas jerawat. Caranya sama sahaja seperti di atas cuma hanya tambah bedak sejuk dalam bahan asam jawa dan air.
Kulit kayu manis
Sebenarnya kulit kayu manis bukan sahaja digunakan dalam masakan malah boleh digunakan untuk bidang kecantikan wajah. Untuk pengetahuan anda, di negara barat sekarang ini banyak menggunakan kulit kayu manis sebagai salah satu bahan asas untuk menghasilkan produk kecantikan. Mungkin mereka sudah membuat beberapa kajian di mana khasiat kayu manis ini terbukti membantu kulit menjadi cantik dan halus. Bagi kita yang mungkin baru tahu perkara ini, pasti anda teruja untuk melakukannya. Cara adalah hancurkan 2 batang kayu manis ini sehingga menjadi serbuk halus dan campurkannya dengan bedak sejuk serta air bersih. Sapukannya di bekas jerawat dan biarkannya sehingga kering, kemudian bilas dengan air bersih. Buatlah sekerap yang mungkin untuk mendapat hasil yang diinginkan. Kulit kayu manis ini juga boleh bantu menghilangkan bintik hitam di muka anda.
Madu
Khasiat madu sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa ia banyak memberi kebaikan kepada kesihatan terutamanya bahagian dalaman tubuh badan manusia. Tapi tahukah anda madu juga dapat membantu dalam kesihatan luaran juga seperti kulit wajah seperti menghilangkan bekas jerawat di muka. Sebab itulah, madu sangat terkenal sebagai 1001 khasiat dalam perawatan kesihatan dalaman dan luaran.
Bagaimana cara hilangkan bekas jerawat menggunakan madu? Jawapannya mudah sahaja, jadikan madu yang dicampurkan dengan 2 sudu yogurt untuk dijadikan masker di muka atau boleh diletakkan di bekas jerawat sahaja. Sapukan ia semalaman di muka kemudian bilasnya dengan air bersih. Mudahkan? Yang penting anda perlu lakukannya secara konsisten dan boleh diamalkan 3 hingga 4 kali seminggu. Lagi kerap anda amalkan, lagi cepat anda dapat lihat kesannya.
Timun
Buah timun dapat dikaitkan dengan kandungan antioksida yang agak tinggi selain memiliki kandungan vitamin dan asid amino di dalamnya. Kandungan nutrisi inilah yang membuatkan timun membantu untuk menghilangkan bekas jerawat di muka. Jika anda pergi ke farmasi atau toko-toko jamu, anda akan dapat lihat banyak produk kecantikan menggunakan salah satu bahannya adalah timun kerana khasiat yang terkandung dalam timun itu sendiri. Namun begitu, keaslian dan khasiat timun tersebut yang asli mungkin berkurang kerana kebiasaannya produk tersebut bercampur dengan bahan kimia yang lain berbanding anda menggunakan buah timun itu sendiri secara semula jadinya.
Oleh itu, cara membuat masker timun adalah dengan mengisar buah timun ini dan tapis untuk ambil hampasnya yang boleh dijadikan sebagai masker. Air yang telah ditapis boleh spray di muka supaya mendapat kesan dua kali ganda berbanding memakai masker sahaja. Dengan cara tersebut, kulit anda juga boleh kelihatan lebih cerah dan halus.
Tomato
Bila lihat kulit tomato, anda pasti akan tertawan dengan kelicinan dan kehalusannya. Begitulah, khasiat tomato yang boleh digambarkan dalam memberi rawatan kulit cantik sama ada bagi golongan wanita mahupun lelaki. Dengan kandungan vitamin A dan vitamin C, ia dapat membantu menghilangkan bekas jerawat di wajah anda. Caranya adalah dengan menghancurkan sebiji buah tomato sehingga menjadi seperti pes. Sapukannya kepada wajah anda dan biarkannya selama 10 hingga 15 minit. Kemudian bilasnya dengan air bersih. Janganlah sekali sahaja dilakukannya dan anda berharap terus dapat melihat kesannya kerana ia mengambil sedikit masa untuk menghilangkan bekas jerawat anda. Lakukannya penuh sabar dan secara konsisten. Yakinlah bahawa ia dapat memberi hasil yang anda inginkan kerana ia sudah dibuktikan oleh ramai wanita di luar sana yang sudah mengamalkannya.
Putih Telur
Ambil sahaja telur dalam peti ais anda dan asingkan putih telur dan kuning telur dalam bekas berasingan. Putih telur ini, anda boleh campurkannya dengan perahan lemon dan sapukannya di wajah anda. Cara ini boleh membantu anda untuk menghilangkan bekas jerawat di wajah kerana putih telur ini mengandungi enzim lysonzim yang ternyata mampu digunakan sebagai bahan untuk menghilangkan bekas jerawat.
Selain membantu menghilangkan bekas jerawat, putih telur juga boleh membantu mengecilkan pori-pori di wajah dan kulit anda akan nampak lebih halus dan mulus seperti kulit bayi. Sebab itulah, anda perlu bersabar untuk melihat hasilnya kerana bahan semulajadi ini memang mengambil masa.
Cuka Epal
Bila ditanya kepada orang ramai, rata-ratanya mengatakan bahawa mereka kurang gemar dengan rasa cuka epal walaupun ia mempunyai banyak khasiatnya dari segi kesihatan dalaman mahupun luaran. Cuka epal ini sangat bagus kerana ia mengandungi antiseptik semulajadi yang mampu membunuh bakteria yang menjadi penyebab jerawat tumbuh di muka. Jadikan sapuan cuka epal di wajah anda sebagai rutin harian kerana ia membantu menghilangkan bekas jerawat dan pada masa yang sama membantu untuk menghalang pertumbuhan jerawat yang baru. Tambahan pula, mereka yang mempunyai jerawat batu di mana ia agak sukar dihilangkan. Caranya adalah dengan sapukan cuka epal ini di muka dan biarkannya selama 3 hingga 5 minit kemudian, bilaskannya dengan air bersih.
Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada anda yang sedang mencari solusi untuk menghilangkan bekas jerawat di wajah mahu pun ti tubuh badan anda. Jika anda betul-betul mahukan hasil yang berkesan, anda perlu cuba cara di atas dengan menggunakan bahan semulajadi dan lakukannya secara konsisten. Jangan mudah berputus asa dan sentiasa positif dengan setiap perubahan yang dilihat walaupun perubahan tersebut sedikit demi sedikit.
Percayalah bahawa hasilnya akan dapat dilihat cuma mungkin ia mengambil sedikit masa. Selamat mencuba!