Your Cart

Kenali Penyebab dan Cara Tepat Merawat Jerawat Pasir di Muka

Ramai orang di luar sana keliru dengan istilah jerawat pasir dan jerawat biasa.Kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang berlainan. Antara perbezaan yang ketara di antara jerawat pasir dan jerawat biasa adalah jerawat pasir ini akan tumbuh di muka dalam jumlah yang banyak pada satu masa. Saiznya kecil sahaja seperti pasir tetapi dalamnya berisi nanah dan lemak. Apabila jerawat pasir ini menyerang di wajah anda, ia akan menjadi kemerah-merahan dan menyebabkan kulit wajah anda nampak tidak sekata. Kebiasaanya, jerawat pasir ini akan tumbuh di dahi terlebih dahulu kemudian diikuti dengan bahagian pipi dan dagu.

Jerawat pasir sering tumbuh di bahagian T zone muka kerana T zone merupakan kawasan yang sering terkumpulnya banyak minyak di muka jika di bandingkan bahagian lainnya di wajah. Bahagian dahi mengumpul lebih banyak minyak apabila ia sering terdedah dengan matahari serta udara sekitar.

Ada di kalangan mereka lebih memilih mempunyai jerawat pasir berbanding jerawat batu di muka kerana jerawat pasir saiznya kecil maka dengan penggunaan alat solek mudah sahaja untuk menyamarkannya jika dibandingkan dengan jerawat batu yang tumbuh seketul di muka. Tetapi jerawat pasir sebenarnya mengambil masa yang lama untuk dirawat dan bekas jerawatnya juga agak sukar untuk dihilangkan. Namun begitu, setiap orang mempunyai perbezaan pendapat tetapi lebih bagus jika kedua-dua jerawat ini tidak tumbuh di wajah.

Penyebab Jerawat Pasir Tumbuh Di Muka

Kebersihan Wajah

Ramai yang mengambil mudah dalam soal kebersihan wajah. Tahukah anda bahawa faktor kebersihan wajah merupakan faktor utama penyebab jerawat pasir tumbuh di muka. Faktor kebersihan wajah ini termasuklah seperti mencuci wajah tidak betul-betul bersih, melewatkan masa mencuci wajah serta tidak membersihkan make up sebelum tidur. Hal ini akan menyebabkan kotoran tertinggal di dalam pori-pori dan membuatkannya tersumbat serta bercampur dengan minyak, maka terbentuklah jerawat pasir di muka.

Oleh itu, anda perlu membersihkan wajah sebelum tidur serta pastikan tiada kotoran atau make up yang masih berbaki di muka anda. Disarankan supaya membersihkan wajah sekurang-kurangnya 2 kali sehari dan bagi muslim yang menunaikan solat 5 waktu, anda juga boleh membersihkan wajah sebanyak 5 kali sehari. Lebih kerap anda membersihkan wajah, lebih kurang risiko untuk jerawat pasir tumbuh di muka. Kerana wajah anda mudah terdedah dengan udara luar di mana tahap kebersihan udara juga mungkin memberi kesan kepada kulit wajah. Selain itu, selepas anda membersihkan wajah pastikan kain atau tuala yang anda gunakan mempunyai tekstur yang lembut sesuai untuk dijadikan tuala atau kain lap wajah. Jangan menggunakan kain tuala mandian anda untuk mengelap wajah anda kerana teksturnya sangat kasar dan  boleh membuatkana kulit anda cepat rosak.

Pemilihan Skincare dan Make up

Jika anda salah memilih skincare serta alat make up yang salah maka ia akan memberi risiko kepada kulit wajah anda iaitu kemungkinan akan tumbuhnya jerawat pasir di muka. Tambahan pula, pada zaman sekarang banyak lambakan skincare dan make up berada di pasaran. Ada yang mempunyai bahan terlarang dan tak kurang juga bahan yang boleh merosakkan kulit wajah. Sebelum anda memilih produk skincare atau alat make up, pastikan anda membuat sedikit kajian mengenai produk tersebut dari segi bahan buatannya serta melihat kepada testimoni pengguna yang telah menggunakan produk tersebut terlebih dahulu. Kerana tidak semua produk skincare dan alat make up sesuai dengan kulit wajah anda. Lebih bagus jika anda dapatkan nasihat daripada pakar kecantikan atau penasihat kecantikan bagi pemilihan skincare dan alat make up. Ada sesetengah di kalangan anda sangat suka mencuba produk skincare dan make up yang baru dikeluarkan di pasaran tanpa mengambil kira soal keselamatan dan kesesuaian produk tersebut terhadap kulit wajah anda.

Hormon

Salah satu punca jerawat pasir tumbuh di muka adalah kerana faktor hormon iaitu ketika anda hamil mahupun semasa datang haid. Ketika itu, hormon testosteron akan meningkat dan akan merangsang kelenjar minyak untuk lebih aktif dalam mengeluarkan sebum. Dengan meningkatnya jumlah minyak di kulit wajah akan membuatkan jerawat pasir akan tumbuh secara banyak.

Faktor ini tidak dapat dielakkan kerana ia adalah faktor semulajadi yang badan kita hasilkan. Maka anda perlu bersabar untuk menanganinya. Jika semasa haid datang dan jerawat pasir tumbuh, anda ada beberapa pilihan untuk merawat jerawat pasir anda anataranya adalah dengan membeli produk merawat jerawat di farmasi. Ahli farmasi akan memberi cadangan dan saranan produk merawat jerawat mana yang sesuai mengikut kulit wajah anda. Ubat jerawat ini ada yang berbentuk krim, minyak serta pil makan. Jangan malu untuk bertanyakan kepada mereka yang lebih berpengatahuan dalam bidang kulit wajah.

Makanan

Mungkin anda pernah dengar tentang segelintir orang mengatakan bahawa jika makan kacang maka jerawat akan timbul. Ada yang percaya dan ada juga yang kurang percaya dengan pernyataan di atas. Sebenarnya, ada betulnya tentang faktor pemakanan boleh menyebabkan jerawat pasir tumbuh di muka. Antara makanan yang perlu dielakkan adalah seperti makanan yang berminyak, kekacang, tinggi gula serta tinggi lemak kerana makanan ini boleh merangsang pertumbuhan jerawat pasir lebih banyak. Dinasihatkan supaya banyakkan makan makanan seperti buahan dan sayuran serta pada masa yang sama minum air kosong secukupnya. Dan lebih bagus jika anda mengambil makanan yang tinggi vitamin C serta tinggi antioksida kerana dua nutrisi dan vitamin ini sangat membantu dalam kecantikan kulit wajah. Antara contoh buah yang tinggi vitamin C dan antioksida adalah buah oren, buah lemon serta jus lidah buaya.

Stress

Tanpa kita sedari faktor stress juga boleh membuatkan jerawat pasir tumbuh di muka dengan banyak tambahan pula di bahagian dahi. Sebab itu, tidak hairanlah jika kaum lelaki juga mempunyai jerawat pasir di wajah kerana stress ini boleh berlaku kepada wanita mahupun lelaki. Pernah tak anda nampak kawan lelaki anda di pejabat tumbuh jerawat pasir di wajah? Jika ya, mungkin dia sedang mengalami stress.

Sebenarnya, jerawat pasir yang tumbuh pada wajah anda disebabkan stress boleh ditangani dengan berkesan jika anda tahu bagaimana untuk menyelesaikannya. Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk menanganinya serta mengelakkan jerawat pasir tumbuh adalah dengan melakukan aktiviti riadah, makanan makanan yang berkhasiat, berikan diri masa untuk beristirehat serta tanamkan pada diri bahawa stress tidak sepatutnya wujud dalam diri anda. Kerana setiap masalah yang timbul pasti ada jalan penyelesaiannya.

Apabila diri anda semakin positif dan tidak melalui fasa stress, yakinlah bahawa jerawat pasir akan tidak mudah tumbuh di muka dan kulit wajah anda akan semakin berseri-seri dengan mood positif yang anda bawa pada diri.

Kurang Tidur

Tidur merupakan aktiviti atau rutin harian yang wajib dilakukan oleh setiap orang. Jika tidur yang tidak mencukupi maka ia akan mempengaruhi metabolisme badan dan ini akan memberi kesan terhadap kulit wajah. Sebab itulah, jerawat pasir akan tumbuh di muka. Sekurang-kurangnya, anda perlu tidur 6 jam sehari untuk mendapatkan rehat yang mencukupi. Jika kurang dari 6 jam, maka badan anda berisiko untuk mendapat penyakit termasuklah kesannya terhadap kulit wajah.

Baiklah, itu sahaja perkongsian mengenai penyebab dan cara tepat untuk merawat jerawat pasir di muka. Apabila anda sudah sedia maklum tentang penyebab jerawat pasir ini tumbuh di muka, diharapkan anda boleh mengambil tindakan untuk mencegahnya supaya ia tidak memberi kesan terhadap kulit wajah anda. Walaupun jerawat pasir ini boleh ditutupi dengan make up yang tebal namun lebih baik jika ia tidak langsung tumbuh pada wajah maka penampilan diri anda nampak lebih berseri dan lebih yakin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *